SEJARAH ANGKATAN PELUKIS KEDAH

Angkatan Pelukis Kedah yang lebih dikenali dengan APK telah ditubuhkan sebagai pertubuhan berdaftar pada 25 JANUARI 1977. Ketika itu Cikgu Jamaluddin Abdullah telah menerajui APK sebagai Yang DiPertua APK yang pertama. Kegiatan APK pada awal penubuhannya itu berpusat di Kompleks Pelbagai Guna, Jalan Stadium, Alor Star di mana majoriti keahliannya terdiri daripada guru-guru pendidikan seni Kementerian Pelajaran Malaysia yang bertugas di Kota Setar.

Pameran Pertama APK telah diadakan pada tahun 1978 di Kompeks Pusat Pelbagai Guna, Alor Star dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan Belia & Sukan Negeri Kedah.

Mesyuarat Agung Tahunan APK pada 3 APRIL 1981 telah menyaksikan Dato’ Ahmad Basri bin Mohd Akil yang ketika itu menjawat jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah telah dilantik sebagai Yang DiPertua APK dan sehingga kini masih lagi Yang DiPertua APK bagi sesi 2006/2007.

Pada 31 OGOS 1981 Menteri Besar Kedah ketika itu YAB DATO’ SERI SYED NAHAR SHAHABUDIN dalam ucapan perasmian Pameran dan Pertandingan Seni Lukis Hari Kebangsaan telah membawa berita gembira keputusan Kerajaan Negeri untuk menubuhkan Balai Seni Lukis Negeri Kedah dengan menjadikan Bangunan Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya di Alor Star sebagai Balai Seni Negeri Kedah.

Balai Seni Negeri Kedah ini telah selamat mendapat perkenan perasmian Ke Bawah DYMM TUANKU SULTAN NEGERI KEDAH DARUL AMAN pada 25 JULAI 1983. Kerajaan negeri telah memberi pengiktirafan perjuangan APK sehingga tertubuhnya Balai Seni Negeri Kedah dengan memberi sebuah pejabat APK di Balai Seni Negeri Kedah dan menjadikan Lembaga Muzium Negeri Kedah sebagai penaung APK.

Di bawah kepimpinan Dato’ Paduka Ahmad Basri bin Mohd Akil selama 26 tahun, APK telah berjaya mengadakan 20 pameran seni lukis besar-besaran dan kali terakhirnya diadakan pada 14 Julai 2003 hingga 21 Julai 2003 di Balai Besar Alor Star. Pameran yang bertajuk BERUSLENSA ’03 ini terpaksa diadakan di Balai Besar adalah kerana Balai Seni Negeri Kedah ditutup sehingga kini untuk kerja-kerja pemuliharaan.

Sehingga kini APK telah membantu kerajaan negeri membuat koleksi lebih daripada 200 buah karya bernilai jutaan ringgit termasuk hasil-hasil karya artis agung negara seperti Dato’ Ibrahim Hussein, AB Ibrahim, Hoessein Enas, Amron Omar, Sharifah Fatimah Syed Zubir, dan lain-lain lagi. Terdapat juga karya-karya besar dari luar negara seperti karya-karya seni catan Prof. Billy Morrow Jackson, artis USA.

Sejak penubuhan APK, telah muncul beberapa orang artis yang mewarnai seni catan negeri dan negara seperti Rohaizad Shaari, Ahamad Fauzi Hassan, A’Aishah Abdul Latif, Zamanuri Ashaari, Rosli Mat, Mutalib Zakaria, Fong Kim Sing, Lau Wai Fong, Ahmad Marzuki Abu Hassan, A.S.Kang, Choh Kiat Siong, Choh Kok Kheong, Cheung Pooi Yip, Chiang Soa Ling, Judin Ahmad, Annassuwandi Ahmad, Teoh Kai Suan, Wan Yahaya Wan Abdullah(Allahyarham), Zadul Mutaalim Ramli, Lahab Husin, Norizan Ali, Daud Saad, Baharom Abd Rahman(Allahyarham), Jamaluddin Abd Rahman, dll.

APK dan artis-artisnya bukan sahaja mengadakan siri pameran berpusat di Alor Star dan Kedah sahaja, malah di Kuala Lumpur, Shah Alam, Perlis, Pulau Pinang, Perak, dll. Artis-artis APK terdiri daripada mereka yang ‘selftaught’ dan yang berkelulusan tinggi dalam bidang ini.

Selain daripada aktiviti pameran, APK juga giat mengadakan kelas bimbingan kepada khalayak ramai yang berminat tanpa mengira usia. Selama ini semua aktiviti pendidikan dijalankan di Balai Seni Negeri Kedah, Alor Star; namun begitu, aktiviti kini dijalankan di Taman Budaya, Pumpong dan Kompleks Belia & Sukan Alor Star apabila Balai Seni Negeri Kedah ditutup untuk baik pulih sejak tahun 2002.

Artis-artis APK merupakan tenaga pembimbing dalam program bimbingan yang diadakan. Lazimnya aktiviti ini dijalankan dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kedah dan Jabatan Belia & Sukan Kedah.

Balai Seni kembali beroperasi mulai 1 Mac 2007. Kegiatan APK kembali berpusat di Balai Seni Kedah, Alor Star. Namun begitu, pejabat APK yang sejak penubuhannya terletak di Balai Seni kini telah ditiadakan oleh pihak pengurusan Muzium Negeri Kedah.

Jawatankuasa Pentadbir APK berharap pihak yang berkenaan mengambil kira catatan sejarah penubuhan Balai Seni Negeri Kedah di mana pengiktirafan yang diberi oleh YAB Menteri Besar Kedah terdahulu dan perkenan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah kepada APK dengan beroperasinya pejabat APK di Balai Seni Negeri Kedah selama lebih kurang 25 tahun sebelum ini diwujudkan semula.

Learn More

Angkatan Pelukis Kedah (APK)

angkatanpelukiskedah.blogspot.comWebsite
+6019 5205 399Phone Number
+604 7728 062Phone Number
Balai Seni Negeri Kedah, 05000 Alor Setar, KedahAddress
Visit Us

 
Every donation goes to Touching Hearts Welfare Society, Kuala Lumpur and Selangor and is exempted from tax under sub-section 44(6) of Income Tax Act 1967. Hati.my does NOT collect donations on behalf of other NGOs. Kindly email [email protected] after your transaction is successfully completed to receive a receipt. The receipt will feature the following fields:
?
?
?
I have read the privacy policy and refund policy statements.
hati