Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) diasaskan pada 27 Mac 1927 dengan nama Penang Malay Association (P.M.A). PEMENANG sejak penubuhannya hingga kini telah menjadi suara bangsa Melayu Pulau Pinang. Urusan pentadbiran dan kegiatan PEMENANG dijalankan di Bangunan PEMENANG, No. 60, Jalan PEMENANG, 10250 Pulau Pinang sejak tahun 1994. Sebahagian daripada Jalan Cantonment (Jalan Kelawei hingga Persiaran Gurney) telah ditukar kepada Jalan PEMENANG pada tahun 1997, oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang. PEMENANG juga memiliki sebuah bangunan 3 setengah tingkat yang dikenali sebagai Bangunan Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) di Jalan Macalister, Pulau Pinang, yang kini disewakan untuk perniagaan.

PEMENANG selaku badan induk telah menaja penubuhan beberapa pertubuhan, majlis, persatuan dan kelab bagi memperkasakan usaha membela nasib bangsa Melayu seperti berikut:

  1. Majlis Perundingan Muhibbah Negeri Pulau Pinang (MPMNPP)
  2. Ikatan Kelab-Kelab Melayu Negeri Pulau Pinang (IKATAN)
  3. Gabungan Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Melayu Negeri Pulau Pinang (GABUNGAN)
  4. Kelab Peminat P. Ramlee Pulau Pinang (KPPRPP)
  5. Pertubuhan Amanah Warisan Melayu Pulau Pinang (PEWARIS)
  6. Persatuan Kebajikan Anak-Anak Miskin Islam Pulau Pinang (PEKAMI)

PEMENANG sentiasa giat menganjurkan pelbagai majlis, acara, program dan aktiviti kemasyarakatan dan keagamaan yang diadakan setiap tahun. PEMENANG turut mengadakan majlis atau program khas bagi tujuan tertentu atau sempena peristiwa tertentu yang berhubung kait dengan tujuan dan matlamat perjuangan PEMENANG. PEMENANG juga turut aktif menganjurkan pelbagai majlis dan program yang dilaksanakan melalui pertubuhan-pertubuhan, persatuan-persatuan, dan kelab-kelab yang berada di bawah naungan PEMENANG atau mendapat tajaan PEMENANG. Antara majlis-majlis dan program-program yang diadakan ialah seperti berikut:

  1. Larian Perpaduan
  2. Majlis Jamuan Makan Malam Silaturahim Sempena Sambutan Hati Raya Aidilfitri
  3. Majlis Qurban PEMENANG
  4. Majlis Tahlil Sempena Menyambut Ulang Tahun PEMENANG
  5. Pertandingan Bola Sepak Perpaduan
  6. Hari Terbuka PEMENANG Sempena Sambutan Awal Muharram (Maal Hijrah)
  7. Mesyuarat Agung Tahunan PEMENANG
  8. Majlis Penganugerahan Biasiswa Kenangan PEMENANG

PEMENANG turut mengambil inisiatif dalam membela nasib dan membangunkan kekuatan akademik bangsa Melayu melalui sumbangan dan sokongan seperti penganugerahan Biasisiwa Kenangan PEMENANG kepada pelajar Melayu berketurunan Pulau Pinang melalui Tabung Biasiswa PEMENANG. Sejak 2003, seramai 12 orang pelajar telah mendapat tajaan biasiswa untuk melanjutkan pengajian di pelbagai Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di seluruh Malaysia, dalam pelbagai bidang pengajian. PEMENANG juga melalui Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Universiti Sains Malaysia (USM) telah melancarkan Projek Kecemerlangan Akademik (PeKA) yang akan membolehkan para pelajar sekolah rendah dan menengah berbangsa Melayu di Pulau Pinang mengikuti kelas tuisyen pada hujung minggu.

Peranan Persatuan Melayu Pulau Pinang

Tujuan

  1. Menyatupadukan orang-orang Melayu di Pulau Pinang.
  2. Mendapatkan persefahaman serta membantu sesama ahli khasnya dan seluruh orang-orang Melayu amnya dalam hal ehwal kehidupan masyarakat, agama, adat istiadat, bahasa, pelajaran, ekonomi, kebudayaan, keseniaan, dan sukan.
  3. Mengadakan bimbingan kepada orang-orang Melayu ke arah perubahan berfikir untuk kemajuan dalam segala lapangan mengikut peredaran masa.
  4. Mengekalkan tradisi BANGSA MELAYU yang mutlak dan mengikis tradisi pembaziran yang merugikan bangsa Melayu.
  5. Berbaik-baik dengan semua kaum di Pulau Pinang khasnya dan seluruh negara amnya.
  6. Menjadi wakil orang-orang Melayu di Pulau Pinang.
  7. Mengadakan perhubungan dengan persatuan-persatuan Melayu di negeri-negeri lain yang mempunyai dasar dan tujuan yang sama untuk kepentingan bangsa Melayu.
  8. Melabur secara mana yang sesuai dengan wang atau aset PEMENANG dalam apa-apa bentuk pelaburan sekalipun dan lain-lain harta benda yang dianggap wajar dari masa ke masa termasuk menubuhkan syarikat-syarikat yang perlu dan memegang, memajak, mengadai, menjual, atau melupus dalam apa jua pun mana-mana pelaburan dan harta benda persatuan.

Peranan dan Kegiatan

  1. Mengadakan penerangan dan kempen untuk membanyakkan ahli.
  2. Mengeluarkan siaran lidah rasmi PERSATUAN.
  3. Mengkaji dan mengambil tahu masalah -masalah dan hal-hal kesulitan orang-orang Melayu Pulau Pinang dalam sebarang perkara serta berikhtiar bagi mengatasinya.
  4. Melancarkan penerangan-penerangan dengan cara lisan atau tulisan kepada orang-orang Melayu di seluruh Pulau Pinang.
  5. Berikhtiar mengadakan TABUNG DERMA atau YAYASAN KEBAJIKAN.
  6. Mengadakan lawatan ke kampung-kampung dan ke persatuan-persatuan atau kelab-kelab bukan politik untuk bertukar-tukar fikiran berkenaan hal ehwal masyarakat Melayu.
  7. Mengadakan majlis-majlis syarahan, forum, seminar, konvensyen bagi mencapai tujuan PEMENANG.
Learn More

Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG)

[email protected]Email
www.pemenang.org.my/Website
+604-227 3092Phone Number
+604-228 3937Fax Number
PPM-002-07-12031951Registration Number
Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) Bangunan PEMENANG, No. 60, Jalan PEMENANG, 10250 Pulau PinangAddress
Visit Us

 
Every donation goes to Touching Hearts Welfare Society, Kuala Lumpur and Selangor and is exempted from tax under sub-section 44(6) of Income Tax Act 1967. Hati.my does NOT collect donations on behalf of other NGOs. Kindly email [email protected] after your transaction is successfully completed to receive a receipt. The receipt will feature the following fields:
?
?
?
I have read the privacy policy and refund policy statements.
hati